Seorang petugas
keselamatan cedera di kaki kanan akibat terkena bahan letupan ketika
majlis ceramah perdana anjuran Barisan Nasional (BN) berlangsung di
pekarangan Bilik Gerakan BN Nibong Tebal di sini malam tadi.
Timbalan Ketua Polis
negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mangsa berusia 30-an itu dikejar
ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilapor
stabil.
Beliau berkata polis
sedang menyiasat punca sebenar kejadian yang berlaku pada 10.15 malam
itu, dan tidak menolak kemungkinan ia perbuatan khianat.
"Kita telah arahkan Unit
Bom dan Forensik untuk menyiasat jenis letupan yang digunakan," katanya
kepada pemberita di lokasi kejadian.
Abdul Rahim berkata hasil siasatan akan dimaklum secara terperinci pada satu sidang akhbar secepat mungkin.
Terdahulu, majlis yang
dihadiri 3,000 orang itu menjadi kecoh apabila orang ramai bertempiaran
lari selepas terkejut mendengar satu letupan kuat pada jarak kira-kira
10 meter dari bahagian belakang pentas ucapan.
Ketika kejadian, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan sedang menyampaikan ceramah.
Bagaimanapun, majlis
yang bermula pada 8.30 malam itu diteruskan seperti biasa dengan kawalan
ketat anggota polis dan berakhir pukul 12.30 malam.
Sementara itu, beberapa
saksi kejadian yang berada berhampiran pentas ketika ditemui berkata
mereka terkejut mendengar letupan kuat berkenaan dan masing-masing
berlari menyelamatkan diri.
Seorang saksi yang hanya
mahu dikenali sebagai Micheal, 39, berkata sewaktu kejadian, beliau
baru tiba di lokasi kejadian dan hanya sempat mendengar ceramah
kira-kira 10 minit sebelum terkejut dengan letupan itu dan menyelamatkan
diri bersama isterinya.
Katanya, letupan itu
sangat kuat seperti bom menyebabkan semua orang terkejut dan suasana
menjadi riuh rendah sebelum beliau ternampak seorang lelaki cedera dan
dibawa ke hospital.
Seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 58, berkata letupan itu dari longgokan sampah di belakang pentas.
"Letupan itu menyebabkan
sampah berterbangan sehingga terpercik dan mengotori beberapa buah
kenderaan, mujurlah serpihan bahan letupan itu tidak mengenai saya,"
katanya.
Pengerusi BN negeri Teng
Chang Yeow pula menyifatkan insiden itu mencemar nama baik demokrasi
dan mahu segala bentuk amalan politik yang menjurus ke arah keganasan
dihentikan serta-merta.VIDEO DISINI..
No comments:
Post a Comment