Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai kelebihan untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berbanding Pakatan Rakyat (PR).
Pakar Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Azmi Hassan berkata, masalah perebutan kerusi yang timbul antara parti komponen PR antara faktor penyumbang kelemahan PR.
“Banyak isu yang timbul dalam PR, antara yang besar adalah ketiadaan persefahaman dalam pengagihan kerusi kerana perkara ini menjadi perhatian berikutan semua pihak sedang menantikan hari penamaan calon.
“Selain itu, isu yang melibatkan moral pemimpin juga menjadi faktor semasa yang boleh menggugat kepercayaan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurut beliau, ada pengundi yang menitik beratkan soal moral dan integriti seseorang pemimpin, sekaligus boleh memberikan kesan kepada parti.
“Di Malaysia sifat peribadi seseorang individu itu dilihat penting apatah lagi melibatkan parti yang selama ini membawa nama agama.
“Apabila isu itu timbul bersama bukti, ianya mampu menggugat kedudukan parti ketika ini walaupun kebenarannya masih belum dapat dipastikan,” katanya.
Ketika ditanya apakah tindakan yang wajar dilakukan oleh pihak berkenaan, beliau berpendapat, individu yang disabitkan sesuatu isu itu perlu berani tampil dengan membuat penafian bagi menarik kembali sokongan rakyat.
“Pemimpin terbabit perlu tampil menyatakan hujahnya bukan berdolak dalih menuduh pihak lain menjadi punca perkara itu timbul.
“Jika mengikut Islam, sumpah laknat adalah yang terbaik memandangkan keadaan kini kritikal, jika dibiarkan isu ini akan jadi liabiliti kepada parti” katanya.
Bagi Pensyarah daripada Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian, sokongan rakyat ketika ini dilihat berpihak kepada BN.
“Antara faktor penyumbang adalah gerak kerja dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak beberapa tahun ini.
Menurutnya, ketika ini BN mahupun PR dalam keadaan berhati-hati dan masing-masing susun strategi.
“BN masih punya kelemahan namun beberapa isu yang timbul dalam PR ketika ini beri kelebihan kepada BN.
“Dua elemen yang sangat penting adalah calon dan jentera, namun trend sebenar hanya boleh dilihat selepas penamaan calon,” katanya.
Sumber suaragenerasibaru
No comments:
Post a Comment