Wednesday 3 April 2013

LAGI BUAT PEMBANGKANG GOYANG! PAKATAN PEMBANGKANG PASIR SALAK LUMPUH,NAK KELUAR PARTI !



Ketika Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) semakin hampir, pakatan pembangkang di Parlimen Pasir Salak lumpuh apabila panglima perang mereka meninggal parti dan memohon menjadi ahli UMNO.
Setiausaha PKR Cabang Pasir Salak merangkap Pengarah Pilihanraya Parlimen Pasir Salak, Ahmad Taufik Hassan meninggalkan parti itu bersama-sama 64 orang ahlinya pada majlis Sirih Pulang Ke Gagang di Kampung Gajah malam tadi. 
Sambil melafazkan Bismillah Hirrahman Nirrahim, Ahmad Taufik, dengan nombor keahlian PKR A20000089,mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai Setiausaha PKR Cabang Pasir Salak, Pengarah Pilihanraya Parlimen Pasir Salak dan ahli PKR berkuatkuasa serta merta.
Ahli Parlimen Pasir Salak merangkap Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Tajuddin Abdul Rahman bersama-sama ADUN Sungai Manik yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Zainol Fadzi Paharudin kemudiannya memakaikan kemeja T, jaket dan topi Barisan Nasional (BN) kepada bekas panglima perang PKR itu.
Tajuddin yang ditemui selepas majlis itu berkata, dengan keluarnya Ahmad Taufik bermakna PKR dan pembangkang di Pasir Salak lumpuh kerana kehilangan panglima perang.
“Beliau merupakan seorang tokoh politik yang terkenal dan pakar strategi PKR di Pasir Salak kerana dia yang mengaturkan segala-galanya untuk PKR di sini,” katanya sambil menyifatkan tindakan meninggalkan PKR itu sangat tepat. 
Selain daripada menerima borang permohonan keahlian daripada bekas ahli PKR, Tajuddin turut menerima 111 borang yang sama daripada penduduk Rancangan Perumahan Awam 2 (RPA2) Kampung Gajah.
Untuk makluman, Ahmad Taufik juga merupakan Pengerusi KRT RPA2 Kampung Gajah. 
Ketika ditemui, Ahmad Taufik berkata, selepas 15 tahun bersama-sama PKR, beliau mengambil keputusan yang sangat sukar untuk meninggalkan parti itu kerana tidak selaras dengan prinsip perjuangannya, lebih-lebih lagi dalam soal agama dan suara akar umbi.
Tajuddin pula memberi jaminan tidak akan mempersia-siakan Ahmad Taufik dan rakan-rakannya, sebaliknya tindakan mereka itu bukan sahaja memberi sinar baru kepada kumpulan tersebut, tetapi juga rakyat Pasir Salak keseluruhannya.
“Bukan sahaja sinar baru untuk pilihan raya umum akan datang tetapi untuk meneruskan perjuangan yang terbaik untuk rakyat Pasir Salak dan bersama-sama menghadapi pelbagai cabaran, khususnya daripada pihak-pihak yang cuba memperlekehkan kesucian agama Islam,” tegasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Felcra Berhad itu melahirkan rasa kesal kerana terdapat pemimpin pembangkang , termasuk daripada PAS, yang sanggup `menjual’ agama dan perjuangan bangsa semata-mata untuk mendapat sedikit habuan dunia.
“Saya menyeru kepada mereka, kembalilah ke pangkal jalan dan bersama-sama kita bersatu untuk mempertahankan kesucian Islam,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...